Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Home About Me Beauty Travel Pet Recipe

12 August 2012

Senyum dan Bersyukurlah



Kesulitan pasti ada mengekori kehidupan ini kerana hidup ini seakan teruji. Kita semua sama berdepan dengan dugaan yang tersendiri, cuma yang membezakan kita ialah cara kita mendepani.

Ketika hati sudah tidak tertanggung derita dan bibir masih sempat mengukir tawa, alangkah indahnya.  Dia sembunyikan segala rasa untuk dicurahkan kepada Allah satu-satunya.  Kerana menampakkan kemuraman wajah di hadapan manusia tidak akan menyelesaikan apa-apa. Mungkin kita akan memperoleh simpati tetapi selebihnya hanya Allah tahu jalan penyelesainnya.

Ketika di timpa bencana, senyumlah kerana ujian adalah tanda kasih sayang Allah.  Tidak Allah biarkan manusia yang disayangiNya terlena dalam kenikmatan yang melupakan dia untuk mengingatiNya.  Lalu di kirim sedikit ujian supaya manusia itu tersedar dari lena dan kembali padaNya.

Tersenyum dan bersykurlah.. Jika kita berkeluh kesah menyaksikan ujian demi ujian yang sedang merapat, kita akan mudah tersungkur dan meratap.

Kita masih mampu bersyukur dengan setiap pemberian.  Bandingkan kita dengan mereka yang telah terbaring kaku jasadnya di tanah, mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa.  Apakah kita masih tidak mengambil iktibar?  Kita masih boleh lagi menambah amalah dan ketaqwaan kepada Allah dan menyempurnakan bekalan kita di alam sana.  Tatkala roh dipanggil dan diangkat pergi, menyesal ketika itu sudah tidak bererti!

Dan paling penting, kita terlalu bertuah maka tersenyumlah kerana kita terpilih sebagai seorang MUSLIM. Kita ada Allah yang sentiasa bersama di setiap langkah kita.  Di setiap hari, kita akan berjumpaNya dalam solat, Allah izikan kita meminta padaNya setiap apa yang kita perlu.

Allah damaikan hati kita yang keresahan apabila kita bersamaNya.  Allah maha mengampunkan segala dosa kita yang telah kita perbuat apabila kita bertaubat.  Allah menjanjikan kita nikmat-nikmat yang tidak terhitung apabila kita bertaqwa.  Allah sediakan ganjaran bagi mereka yang sabar.  Allah mengaturkan kehidupan kita dengan sempurna dan segala yang ditetapkan adalah untuk kebaikan hambaNya. Ya Allah, terlalu beruntungnya kita...




Abu Darda' Radhiyallahu 'anhu berkata, "Sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku."



Tersenyumlah sentiasa, ia tidak menyakitkan malah ia pengubat hati yang sakit.  Bukan bererti senyum itu kerana dia tidak punya masalah dalam kehidupannya, tetapi menunjukkan hatinya redha dengan setiap takdirnya.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.. Dah baca entri? Lepas tu komen la banyak-banyak!